Saturday, July 10, 2010

FRANKFURT, AMSTERDAM & AZIZ (MAC 2010)

Panggilan mesyuarat ke Dublin datang lagi. Terfikir sejenak mahu melencong ke mana pula kali ini. Dapatkan info tentang destinasi Malaysia Airline terbang ke mana lagi di Eropah ini. Semak-semak ada dua lagi negara Eropah yang MAS singgah tetapi saya belum pernah sampai. Frankfurt dan Amsterdam. Dulu ada destinasi ke Zurich Switzerland tapi sekarang tiada lagi. Teringin juga nak ke negara Gunung Matterhorn tu. InsyaALLAH kalau ada rezeki akan sampai jua. Sekali lagi isteri juga ingin "escort". Dah ketagih lah tu. Takpa lah..... kalau ada rezeki sikit-sikit tu apa lah salahnya ....kan.
Kami melencong ke Frankfurt dulu. 3 malam kami di sana. Frankfurt tiadalah sebesar mana, kerana iapun bukanlah ibu negara German. Tapi airportnya agak sibuk. Kalau tak silap ke3 tersibuk di dunia. Kargonya lebeh sibuk dari pesawat penumpang. Frankfurt yang di diami oleh hanya 600 ribu orang penduduk, 10% atau 60,000 penduduknya mencari makan bergantung kepada terminal airportnya. Frankfurt adalah bandar industri.... bandar teknologi. Sudah sinonim negara German di kenali dengan Teknologi Tinggi. Kereta Mercedes Benz dan BMW adalah dua jenama kereta mewah dan terkenal yang di keluarkan oleh German. Semasa di Frankfurt lah baru tahu asal usul nama Mercedes di perolehi. Nama Benz tentulah si pencipta nya, Karl Benz. Manakala Mercedes berasal dari nama seorang anak pemimpin di Argentina yang pada awal pembuatan kereta Mercedes ini, beliau telah menempah 200 buah kereta. Kalau bersetuju dengan tempahan itu, Benz hendaklah menamakan kereta itu dengan nama anaknya Mercedes. Al maklumlah pada masa itu tempahan 200 buah adalah sesuatu yang sangat sangat menakjubkan. Manakala BMW pula singkatan kepada Bavaria Motor Work.
Kami sempat merayau-rayau dan menaiki cruise semasa di Frankfurt. Sungai nya memang cantik. Airnya 20 kali ganda lebih berseh dari Sungai Kelang. Bayangkanlah.....
Sehari sebelum berangkat ke Dublin kami keselatan bandar Frankfurt. Sebuah bandar kecil yang menempatkan sebuah Kota lama iaitu Bandar Heidelberg. Sepanjang perjalanan selama 2 jam kami ke Heidelberg, kami melalui sebuah lebuhraya yang paling terkenal di dunia iaitu Autobahn. Tahu kah anda berapa limit kelajuan di Autobahn??? Ahak... tiada limit. Terpulang kepada anda. Tiada speed trap...dan yang teristemewa sekali tiada TOL. Hari esoknya kami terbang ke Dublin untuk melaksanakan tugas rasmi selama 3 hari.
Dari Dublin seawal jam 6 pagi lagi saya dan Isteri terbang lagi ke Amsterdam pula. Memang begitu, kami selalu terbang awal pagi untuk sampai awal juga ke destinasi agar masa melancong tidak rugi. Sekitar jam 10 pagi waktu Belanda kami dah berada di Schipol Airport Amsterdam. Suhu sekitar 13 darjah Celcius, OKlah tak sejuk sangat. Sesuai untuk pasangan yang nak memperbaharui berbulan madu lagi.... macam kami...hehehe. Kami tak buang masa. Tinggal saja beg di hotel kami terus ke Central Station iaitu pusat bandar dan jantung Kotaraya Amsterdam. Perkara yang mula-mula kami tuju tentulah KEDAI HALAL kerana perut pun dah menyanyikan lagu-lagu keroncong beberapa kali. Tak sukar mencari KEDAI HALAL di sekitar Central Station. Merata-rata dan banyak. Tapi tak da jual nasi. Yang ada adalah KEBAB dan KEBAB. Semasa di Amsterdam kami sempat melewati ke DAM SQUARE dan lain-lain. Sudah tentunya lokasi MUST VISIT di Amsterdam tidak kami tinggalkan ia itu...... ahak...... RED LIGHT ZONE. Apa itu Red Light Zone??? Cari sendiri yea. Rasa nya satu-satunya suasana di dunia ini yang tak terdapat di tempat lain.
GAMBAR ATAS- Kanan Bawah... Isteri posing di kawasan Red Light Zone.... oppps kena berhenti....
Amsterdam juga bandar unik. Ia juga di kenali dengan KOTARAYA BASIKAL. Bandarnya penuh dengan basikal. Malahan laluan basikal di bina khas selain daripada laluan kenderaan bermotor. Kita mesti berhati-hati menyeberang jalan kerana banyaknya basikal dan ianya di tunggang agak laju. Basikal-basikal nya juga di rekabentuk bermacam-macam dan unik. Ada pelantar besar, ada raga besar, macam kereta sorong barang pun ada. (Gambar atas- tengah kanan). Selain itu Holland juga popular dengan TEROMPAH nya. Kami menjumpai TEROMPAH GERGASI dan kami tidak melepaskan peluang merakamkan keunikannya. (Gambar atas- atas kanan). Amsterdam juga di kenali dengan KOTARAYA BEBAS. MARIJUANA, LESBIAN, HOMOSEKS, GAY semuanya halal di sana. Pasti kita akan terhidu bau asap marijuana jika bersiar-siar di sekitar bandar.
Kami juga sempat menikmati keindahan bunga tulip di TULIP PARK KEUKENHOF Amsterdam.. Taman ini hanya di buka 3 bulan dalam setahun iaitu dari MAC hingga MEI sahaja. Kami bernasib baik kerana lawatan kami ke Holland adalah pada musim itu tanpa kami rancang. Memang indah apabila pokok tulip mengeluarkan bunga. Tiada kata-kata yang dapat di ungkapkan, hanya gambar menjadi bukti. Sebut saja apa warna, pasti ada pada bunya tulip... orange, merah, kuning malahan biru dan hijau pun ada...iaitu warna-warna yang jarang ada pada lain-lain bunga. Selain itu kincir angin juga merupakan salah satu simbol bagi negara Holland ini. Di tepi-tepi lebuhraya terdapat banyak kincir-kincir angin, tetapi sudah berbentuk simple dan moden. Bentuk kincir angin lama, seperti di atas sudah sukar di jumpai. Hanya terdapat pada kawasan-kawasan tertentu sahaja.
Di Amsterdam, kami sempat melawat ke Stadium Ajax Amsterdam. Disebelahnya terletak sebuah setesyen keretapi yang agak unik dan cantik yang di reka oleh seorang arkitek British yang terkenal, GRIMSHAW.
Semasa di Airport hendak pulang ke Malaysia, kami terpandang pada papan iklan yang tergantung di sekitar Airport Schipol. Banyak poster yang besar-besar memaparkan negara kita Malaysia. Dan bagi saya yang paling baik adalah poster yang memaparkan Bangunan Stadhuy di Bandar Hilir Melaka. Bangunan ini adalah bangunan yang di bina semasa penjajahan Belanda ke atas Tanah Melayu. Secara tak langsung saya juga berkempen kepada beberapa pelancong dari Belanda yang duduk di kerusi sebelah semasa di dalam kapal terbang untuk melawat ke Bangunan Stadhuy di Melaka. Sekurang-kurangnya dapat juga mereka melihat peninggalan datuk moyang mereka semasa Belanda menjajah Tanah Melayu walaupun sebenarnya saya juga kurang senang dengan kejadian penjajahan itu.
Kami selamat mendarat di KLIA pada subuh Isnin 29 Mac 2010. Semasa menaiki teksi dalam perjalanan ke rumah saya teringat tentang dua orang sahabat lama yang sama-sama bersekolah di Sekolah King Edward VII, yang akan berlepas menunaikan umrah malam nanti.

Setelah berehat sebentar, malamnya saya dan keluarga menuju ke KLIA sekali lagi untuk bertemu dengan dua sahabat lama itu iaitu Alias Nordin dan Aziz Chik. Alias baru bertemu semasa re-union bulan November 2009 lalu. Manakala Aziz tidak pernah berjumpa semenjak tahun 1977 bersamaan 33 tahun. Kami hanya bertemu di udara melalui telefon lebih 2 tahun yang lalu. Lagi pun Aziz yang kini bergelar Prof. Dr. Aziz Chik yang menjadi pesyarah di UTM Skudai Johor mengidap sakit kanser otak. Sebelah buah pinggangnya telah di buang dan sebahagian paru-parunya juga telah tiada. Memang kepingin benar untuk bertemu dengannya, tambahan lagi rancangan-rancangan pertemuan sebelum ini tidak menjadi kenyataan. Walaupun letih baru pulang dari Eropah saya kuatkan hati dan semangat untuk ke KLIA bertemu dengan beliau. Alhamdullillah kali ini hajat itu di perkenan kan olehNYA. Ramai juga member-member KE VII malam itu yang hadir seperti Mutaza, Yusuf, Ismail dan Razak Mat Aini untuk menghantar sekali gus berjumpa dengan sahabat lama itu. Pada Aziz semoga selamat menunaikan Umrah dan pulang dengan selamat ke tanah air nanti. InsyaAllAH.

Sunday, January 3, 2010

WARNA WARNI 2009

Tahun 2009 berlalu dengan penuh warna warni buat diri saya. Ada 2 perkara besar berlaku sepanjang tempoh 365 hari dan kedua-duanya membawa kepada menyingkap masa lalu dan kenangan untuk masa hadapan. Mari lah saya membawa anda kepada menyikap semula masa lalu itu sebelum kepada perkara yang kedua, kenangan untuk masa hadapan itu.

Perkara yang saya maksudkan adalah, pada tahun 2009 lah tahun paling ramai saya menemui kembali kawan-kawan lama semasa sama-sama makan sekawah di Asrama King Edward VII Taiping. Ianya semua bermula bila bertemu dengan Awang Mansur di tepi jalan secara tidak sengaja pada bulan Mac 2009 ketika saya balik ke Taiping untuk menziarahi Ayahanda Saudara saya Abdul Rahman Tahir yang meninggal dunia. Hasil dari sedikit maklumat yang Awang ada saya sedikit demi sedikit mula dapat menghubungi kawan-kawan sekelas yang lain satu persatu. Kemuncak daripada hubungan-hubungan tersebut, kami mengaturkan perjumpaan atau 'RE-UNION' sehari selepas hari raya haji iaitu pada 28 hb Nov 2009.

Pada masa itu, daripada 43 orang sekelas, 3 orang telah awal menghadap Ilahi (tinggal 40) 29 orang telah dapat di hubungi. Pada masa hari re-union tersebut, 25 orang telah hadir. Hanya 4 orang sahaja yang tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat di elakkan. 11 orang masih gagal di jejaki (pada masa itu). Sungguh teruja dapat berjumpa kembali kawan-kawan di lokasi Asrama yang lebih 30 tahun lalu sama-sama tinggal sebumbung dari hujan dan panas.
Gambar atas adalah Remove Class tahun 1974. Guru kelas adalah Mrs Chan. Kawan-kawan yang telah pulang ke rahmatullah adalah Lope Ahmad (atas sekali, 2 dari kiri), Mat Nayan (atas sekali, paling kanan) dan Rahman Musa (barisan ke3 dari depan, 2 dari kanan)

Ishak Rashid mengambil inisiatif untuk menempah baju bagi memeriahkan lagi majlis yang gilang-gemilang itu. Gambar atas sekali kanan- Zawawi. Barisan kedua- Samsudin. Barisan ketiga dari kanan- Hamdan, Sabri Jalal, Shamsul Anuar. Barisan bawah dari kanan- Zaidi, Rosli, Sabri Abu Bakar atau lebeh di kenali dengan nama Sabri Jepun.
Kami juga sempat mengadakan tahlil untuk 3 sahabat yang telah tiada selepas solat zohor pada hari itu. Derma juga di kutip bagi dihulurkan kepada keluarga-keluarga arwah. Walaupun kutipan di perolehi tidaklah seberapa, yang penting adalah tanda ingatan. Gambar atas kanan sekali- Mat Ali, Nasir, Shahidani. Barisan kedua dari kanan- Yusuf , Hamizan, Jamil. Barisan ketiga- Awang Mansur( mula-mula jumpa tepi jalan tu). Bawah- Alias.
Kawan-kawan yang lain yang hadir adalah Ismail, Hakim, Azminudin (tiada dalam gambar di atas), Rahim, Termizi, Shafie, Sazali dan Ishak.(Ada di dalam gambar di atas).

Gambar di atas juga memaparkan gambar kawan-kawan lain yang telah saya temui pada tahun 2009 ini iaitu Muhaimin, Zubir, Zulazlan, Husnan, Wan Baharin, Raja Sulaiman dan banyak lagi. Yang terharu adalah apabila mengetahui kawan-kawan yang sakit seperti Aziz Chik, Khairul Anuar Nasir dan yang sempat saya temui adalah Khairudin Bahazam (gambar atas tengah). Itulah ketentuan AllAH dan rezeki masing-masing. Yang sihat, kena banyak bersyukur. manakala yang sakit tabahlah hadapi dengan dugaan AllAH.
Selain sekolah menengah, saya juga dapat berjumpa dengan kawan-kawan semasa di sekolah rendah, SK Long Jaafar Kemunting Taiping (dahulunya di kenali dengan nama SK Kemunting). Antaranya Abu Bakar (gambar atas-atas kanan... baju putih) dan Harazi (t-shirt biru). Dan yang paling istemewa kawan baik semasa darjah 4. Beliau berpindah ke Melaka pada tahun 1971. Maknanya lebih 38 tahun tak jumpa. Ini semua gara-gara carian melalui internet. Nama beliau pun agak lain sedikit iaitu...ISMAUDDIN ISMAIL... tanpa huruf Y...itu yang memudahkan penjejakkan ini. Gambar beliau gambar atas- bawah kiri (baju putih kolar biru). Beliau kini menetap di Sekincan Selangor.

Perkara kedua adalah pengembaraan saya keluar negara. Kalau tadi, tahun 2009 merupakan tahun paling ramai kawan-kawan lama dapat di jejaki...tahun 2009 juga merupakan tahun paling banyak negara yang dapat saya lawati. Jumlah semuanya adalah 10 buah. Negara-negara tersebut adalah Itali, Vatican City, Arab Saudi, Qatar, China, Peranchis, Ireland, Sepanyol, England dan akhir sekali negara jiran kita Indonesia.
Bermula dengan se awal bulan March, saya telah menjejaki ke negara Itali. 2 bandar ternama yang sempat saya lawati adalah ibu negara Itali iaitu kotaraya purba Rome dan kotaraya unik Venice. Rome dan Venice mempunyai keistemewaannya tersendiri dan paling teruja adalah Venice. Tiada kota raya yang setanding keunikan Venice rasanya. Saya juga ke negara kecil di tengah-tengah bandaraya Rome iaitu kotaraya Pope Kristian, iaitu Vatican City.
Pada bulan April pula saya telah membawa keluarga menunaikan Umrah. Kami transit di negara Qatar dengan pesawat Qatar Airway. Hanya singgah 6 jam pergi dan 6 jam pulang di Airport Doha.
Lawatan seterusnya adalah ke Beijing China semasa cuti sekolah bulan June. Kami sekeluarga meneroka Tembok Besar Negeri China dan persekitaran Stadium Olimpik 2008 selama 6 hari dan 5 malam. Kemudian selama 11 hari pula pada bulan Oktober saya dan isteri mengembara ke 4 negara Eropah iaitu Peranchis, Sepanyol, Ireland dan England. Ia seakan-akan percutian bulan madu kami lagi buat kesekian kalinya. Bandar-bandar termahsyur yang telah di kunjungi adalah Paris, Barcelona, Granada, London dan Dublin.
Seterusnya pengembaraan terakhir untuk tahun 2009 adalah ke negara Indonesia pada bulan Disember. Ini merupakan Company Trip Nazri Architect pada Tahun 2009. Secara keseluruhannya seramai 35 orang telah sama-sama menjayakan trip ini. Destinasi utama kami adalah ke Jakarta, Puncak dan Bandung.

Begitu lah ceritanya kisah-kisah yang telah mewarnai tahun 2009. Tahun yang genap 1 tahun blog ini di wujudkan. Hit pelawat blog ini pun telah mencapai 2541 pada tanggal 1hb. Januari 2010. Rasanya agak sukar untuk menandingi atau pun mengulangi pencapaian yang di capai pada tahun 2009 terutama mengenai lawatan ke 10 negara luar. Rasanya agak mustahil pencapaiannya dapat di pecahkan dimasa-masa akan datang. Tapi mana tahu kalau AllAH mahu, apa-apa sahaja boleh berlaku. Saya sendiri tidak pernah terfikir akan dapat mencapai pencapaian setinggi ini (jumlah 10 negara luar yang di lawati dalam tempoh 1 tahun).

Akhir sekali juga kisah pencapaian di tahun 2009 ini. Di hujung tahun 2009 juga iaitu pada bulan Oktober 2009, saya telah memiliki kenderaan yang telah lama saya idam-idamkan. Alhamdulillah semuanya rezeki dari AllAH. Apa yang saya hajati tercapai jua. Saya berharap pencapaian seperti ini berterusan dan di berkati AllAH. Dari DIA kita datang dan yang ada semuanya hak AllAH. Kita hanya memegang amanah untuk dilaksanakan buat seketika, ketika hidup sebentar di alam fana ini. Marilah kita banyak-banyak bersyukur dan berterima-kasih atas segala kenikmatan yang telah kita kecapi. Moga-moga dengan itu, rezeki kita semakin melimpah ruah atas kurniaan yang maha Esa. Amin Ya Rabbalalamin.

Thursday, December 24, 2009

JAKARTA PUNCAK BANDUNG (Disember 2009)

MELANCONG DATANG LAGI....Kali ini saya dan staf syarikat ke Jakarta , Puncak dan Bandung sempena TRIP 2009 SYARIKAT yang insyaAllAH setakat ini diadakan pada setiap tahun. 2002 kami ke Bali, 2003 ke Kuching, 2004 ke Medan, 2005 ke Langkawi, 2006 ke Melaka, 2007 ke Bukit Merah, 2008 ke Beijing dan tahun ini sekali lagi ke Indonesia. Dan kebetulan TAHUN MELAWAT INDONESIA 2009.

Seramai 37 orang anggota yang turut serta termasuk kanak-kanak dan bayi dari 18-22hb Disember 2009. Selain staf dan anggota keluarga, turut serta adalah Aiyie dan keluarga, Ar. Abdullah dan keluarga serta Datin Nik Asmah. Pengembaraan 5 hari 4 malam. Menginap 1 malam di Bandung, 1 malam di Puncak dan 2 malam di Jakarta.
Kalau di Bandung agenda utama tentulah Shopping. Saya dan lain-lain sempat ke Pasar Baru (walaupun bangunannya dah buruk), Factory-factory Outlet yang banyak tu, dan Rumah-rumah Mode di sekitar Bandung. Kami juga di bawa melawat ke Tangkuban Perahu iaitu Gunung Berapi yang pernah meletup pada tahun 1959 dan ianya masih hidup dan boleh meletup lagi pada masa akan datang. Kawah Rotu adalah antara 3 kawah terbesar dan asapnya masih keluar dari dasar kawah dan mengeluarkan bau belerang yang kuat.

Di Puncak pula kami melawat Masjid Besar di tengah-tengah kebun teh dan serba unik. Antara yang teristimewa untuk kanak-kanak, adalah melawat SAFARI WORLD di Puncak dan bagi saya ini adalah Safari World terbesar yang pernah saya lawati selain di Melaka dan di Bangkok.

Di Jakarta kami sempat melawat Taman Mini Indonesia yang menempatkan 32 buah rumah tradisional kaum yang terdapat di Indonesia, Menara Monumen Nasional (MONAS), Masjid Istiqlal, Taman Ancol dan tentunya shopping di Tanah Abang, Cempaka Mas, Mangga 2 dan lain-lain.
Makanan halal tiada masalah, boleh didapati dengan mudah baik di Bandung atau di Jakarta. Hanya perlu lebeh berhati-hati kerana ramai kenalan yang bilang sakit perut makan di sana. Alhamdulillah rombongan kami semuanya OK. Ada juga yang berpendapat, sedutan bau belerang yang kuat semasa di gunung berapi adalah faktor sakit perut. Mungkin betul. Ada baiknya kita memakai penutup hidung dan mulut semasa ke tempat-tempat itu.

Kami di sajikan dengan makanan nasi padang dan ala-ala tom yam sepanjang tempoh 5 hari itu. Antara yang menarik adalah makan malam di RESTORAN KAMPUNG DAUN di Bandung (gambar atas kanan). Kawasan sekelilingnya paling unik. Setahu saya belum pernah ada keadaan sebegitu di Malaysia. Kawasannya luas dan di susuri dengan air terjun semulajadi yang mengalir di sepanjang kawasan serta melewati pondok-pondok kecil dan wakaf-wakaf tempat menjamu selera. Rasanya kumpulan kami disediakan tempat paling menarik di mana platfom yang kami duduk makan, air terjun semulajadi itu mengalir di tepi dan dibawah. Alunan bunyi air lebih memukau disamping hidangan yang sungguh lazat. Tak dapat nak di ceritakan nikmatnya kecuali anda sendirilah yang menghayatinya jika ke Bandung.
Bandung dan Jakarta juga dalah KOTA UNIK. Di setiap simpang lampu isyarat ada saja PENUNGGUnya. Samada para penjual makanan dan minuman, peminta sedekah, atau seniman jalanan yang akan mendendangkan lagu seketika dan minta di upah dengan UWANG.

Paling terharu adalah selepas makan malam di Bandung sebelum memulakan perjalanan ke Puncak. "BIS" (sebutan bahasa Indonesia untuk BAS) kami di datangi oleh 2 orang anak kecil MALANG, seorang lelaki dan seorang perempuan, sambil menggalas sebuah gitar kecil. Rasanya 2 adik beradik. Si kakak sama baya dengan anak kecil saya, DARWEESH sekitar 7 tahun manakala adiknya lelaki, umurnya kurang daripada itu. Mereka mendendangkan lagu sayu dan syahdu. Tercuit sungguh hati kecil ini. Apakah kalau Darweesh sama senasib MALANG begitu, mampukah beliau melalui semua ini... sudah mula mencari rezeki sendiri. Mungkin sudah di takdirkan MALANG buat kedua-duanya. Harapan saya moga mereka cekal dan berjaya di suatu hari nanti.
Sebut pasal MALANG, ianya juga tak lari dari diri saya sekeluarga sepanjang lawatan 5 hari 4 malam itu. Kisah pertama, selepas kami makan malam di Restoran Kampung Daun yang indah itu. Kami menuju ke BIS untuk pulang ke hotel. Terkejut kami melihat BIS kami senget sebelah kerana tayarnya mendap dek tanah kawasan tersebut mungkin lembut (gambar atas-2 gambar bahagian atas). Operasi untuk menaikkan semula BIS tersebut memakan masa hampir 2 jam. Dalam keadaan penat terpaksalah juga kami sabar menunggu. Kasihan pada rakan-rakan yang membawa anak kecil. Kesabaran mereka pasti lebih lagi.

Kisah kedua, adalah setelah selamat mendarat di KLIA, kami pun mengambil teksi untuk pulang. Oleh kerana ramai (termasuk keluarga Aiye, kami semua 9 orang), kami pun mengambil sebuah van Airport. Selepas 15 minit perjalanan, tayar belakang van tersebut meletup (gambar atas- 2 gambar bahagian bawah). Nasib baik van bergerak perlahan waktu itu. Kami terpaksa menunggu 30 minit sebelum van pengganti tiba. Bagaimanapun kami selamat tiba di rumah lewat jam 2 pagi pada 23hb Disember 2009.

Pada 24hb Disember, kita juga dikejutkan dengan berita MALANG bangunan runtuh di lokasi membeli-belah yang mahsyur di Jakarta di TANAH ABANG. Kejadian malang itu hanya berlaku kurang daripada 48 jam selepas kami mengunjungi tempat tersebut pada 22hb Disember 2009. Apa-apa pun syukur ia tidak berlaku ketika kami berada di sana.

Secara umumnya saya dan yang lain-lain gembira untuk TRIP SYARIKAT kali ini. Cuma saya agak terkilan kerana hasrat saya untuk mencari 2 PERKARA di bandung tidak di perolehi. Puas saya bertanya dan mencari 2 PERKARA itu kalau-kalau ada warga Bandung yang dapat membantu dan mendapatkannya. Masuk hari terakhir pun saya masih gagal memperolehinya. Tapi tak apa lah mungkin kalau ke Bandung lagi saya akan cuba sekali lagi mencarinya. 2 PERKARA yang saya maksudkan tak lain dan tak bukan adalah air bandung dan mee bandung....hehehe. Jumpa lagi tahun depan 2010...entah ke mana pula haluannya. Sama-sama lah kita nantikannya.

Wednesday, November 11, 2009

5 KOTARAYA EROPAH (OKTOBER 2009)

Sambil menyelam minum air, itulah agaknya unggapan yang paling sesuai untuk diucapkan bagi pengembaraan saya kali ini. Lawatan kerja di Dublin Ireland, sambil makan angin di Sepanyol, sebuah negara di Selatan Eropah yang belum pernah saya jejaki. Perjalanan ini di anggap lebih manis kerana ianya juga di anggap "Percutian Bulan Madu Lagi" kerana orang kesayangan ikut bersama kali ini. Perjalanan saya kali ini juga diiringi "seorang jurukamera bernama KUDIN" agar dapat merakamkan detik-detik indah perjalanan bulan madu kami itu. (Gambar atas-Kudin kanan sekali.) Acah je tu.

Kudin sebenarnya adalah rakan kerja sepejabat yang ikut bersama untuk lawatan kerja di Dublin itu. Sekurang-kurangnya beliau dapat merakamkan gambar kami berdua, tak perlulah meminta pertolongan orang-orang yang tak dikenali untuk mengambil gambar kami seperti yang sering kami lakukan jika berjalan berdua sahaja. Kudin pun ingin membawa isteri, malangnya isterinya seorang guru yang sukar mendapat cuti pada masa-masa begini. Lainlah kalau dalam tempoh cuti sekolah. Itulah pula kelebihan seorang suri rumah(isteri saya) yang tiada kongkongan untuk perkara-perkara sebegini.


Lawatan kerja di apit oleh perjalanan makan angin. Makan anginlah dulu. Destinasi pertama tentunya KOTARAYA ROMANTIS PARIS. Ini merupakan lawatan kedua saya ke Paris sementara buat isteri adalah kali pertama. Apabila mendarat sahaja kapal terbang selepas 12 jam perjalanan tanpa henti, si isteri pun bersuara "rasa macam tak percaya dan rasa macam mimpi". Memanglah dah lama mengidam nak datang ke sini tapi rasa macam tak nampak jalan dapat sampai.

Suhu sekitar 13 darjah C. Sangat cantik, tak sejuk sangat. Sesuai untuk pasangan bagi yang nak berbulan madu macam kami........ hehehe....... Selama 3 hari 2 malam tu kami sempatlah ke Muzium De Louver di mana potrait MONALISA di abadikan, Pompido Center, Arch De Triumph, Nothre Dam dan banyak lagi. Sudah tentu tak sah kalau tidak ke EIFEL TOWER dan mendaki ke kemuncaknya. Bagi Kudin, walaupun kali kedua, beliau amat gembira kerana pada kali pertama (Nov2008 lalu) tak banyak tempat yang sempat beliau lawati.


19hb Okt kami berlepas pula ke Dublin untuk lawatan kerja saya. Cuaca di Dublin juga di sekitar 13 darjah C. Bagi isteri yang pertama kali ke sana, dapatlah bezakan antara Dublin dan Paris. Bagi yang dah beberapa kali tu(saya lah tu) tak berapa nak perasan perbezaan. Sebab macam dah biasa. Kata isteri Dublin lebih aman damai berbanding dengan Paris yang sangat sibuk.

Di Dublin si isteri dapatlah melihat hasil kerja Nazri Architect di luar negera. Kebetulan lawatan kerja kali ini adalah untuk menyerahkan Bangunan Malaysia Hall kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana kerja-kerja telah siap sepenuhnya. Selama 3 malam di Dublin, kami sempatlah menyusuri jalan-jalan kotanya. Antara yang sempat di kunjungi adalah Crafton Street, O'cornell Street, Taman Steven Green, Masjid Klonskey, Masjid Dublin dan lain-lain.

Masih ingatkah cerita saya terdahulu mengenai Dublin Mosque ini, iaitu gereja yang ditukar menjadi masjid. Semasa kunjungan kali ini dewan utamanya sedang diubahsuai. Kami sempat bersembahyang di ruang tambahan yang baru siap. Kami juga sempat makan tengahari di kedai rakyat Pakistan di masjid itu. Kata isteri lagi, nasi berianinya memang sedap dan lain rasanya. Entahlah orang lelaki mana tahu nak rasa sedap ke, tawar ke, asal boleh makan sudah!!! Pada hari terakhir di Dublin, saya membawa si isteri mengunjungi kawasan pendalaman di utara Dublin. Cantik sungguh pemandangan sepanjang perjalanan tambahan lagi kawasan yang menyusuri pantai Ireland. Kami juga sempat singgah di sebuah kota tinggalan yang berusia lebih 700 tahun.


22hb pula kami terbang ke Barcelona, Sepanyol. Nasib kami agak kurang baik kerana hari kami sampai, hujan turun sepanjang hari. Namun begitu kami tahu tentu ada hikmah di sebaliknya. Nanti akan saya ceritakan di kemudian nanti. Cuba lihat gambar di atas, nampak macam kering je.....

Orang Barcelona agak sombong. Rakyat tempatan tiada yang tahu berbahasa Inggeris kecuali di hotel. Kalau yang ada di bandar pun (yang pandai bahasa Inggeris) orang luar samada India, Pakistan, Morocco atau Tunisia. Kami berkesempatan berjumpa sebuah kedai makan HALAL rakyat Pakistan. Semasa makan malam kami berjumpa 4 pelajar Malaysia dari UK yang juga makan angin di Barcelona.

Antara tempat menarik yang di lawati adalah SAGRADA FAMILIA. Bagi para-para arkitek sudah pasti tahu tentang bangunan terkenal tersebut. Hasil tangan seorang arkitek terkenal, ANTONIO GAUDI. Falsafah Gaudi adalah tiada sesuatu benda yang diciptakan Tuhan berbentuk lurus. Itulah sebabnya hasil kerjanya semuanya bengkok-bengkok. Barcelona juga di kenali sebagai BARCELONA GAUDI CITY. Maknanya Bandaraya Barcelona ini adalah Bandaraya Gaudi. Terdapat beberapa lagi bangunan rekaan Gaudi di sana. Akibat dek hujan kami tidak berpeluang meng'explore' rekaan-rekaannya yang lain tu.

Ada pendapat yang mengatakan Menara Kembar Petronas MENCEDUK rekabentuk bangunan Sagrada Familia ini. Cuba lihat pada gambar di atas. Terpulanglah kepada anda untuk mentafsirkannya.


Awal pagi esoknya kami terbang lagi ke GRANADA pula untuk mengunjungi sebuah lagi BINAAN MAHSYUR.....AL HAMBRA. "MEMANG TERPESONA". Inilah satu-satunya bangunan yang pernah saya lihat BERLAINAN dengan bangunan-bangunan yang pernah saya lawati. Biasanya apabila saya melihat di dalam gambar...cantik. Tapi apabila sampai ke lokasi sebenarnya, didapati kurang cantik dari apa yang di lihat di dalam gambar. Al Hambralah satu-satunya yang terbalik daripada keadaan tersebut. Dalam gambar kelihatan cantik. Tapi apabila berada di lokasi sebenarnya, ianya lebih...lebih...lebih...lebih cantik dari dalam gambar. Dengan kehalusan buatannya, propotionnya, skala dan sebagainya, ia kelihatan adalah binaan yang serba PERFECT SEMPURNA.

Ukiran-ukiran ayat-ayat Allah masih baik keadaan nya walaupun sudah berusia lebih 800 tahun. Cuma yang sayunya binaan ini kini adalah dibawah jajahan Kristian. Terdapat juga di beberapa bahagian yang didapati ayat-ayat Allah itu telah di robek-robek dan digantikan dengan simbol-simbol palang dan salib. Begitulah yang terjadi bila pemimpin Islam mula jauh dari ajaran Tuhannya dan pastinya ia mula lemah dan mudah dikalahkan oleh musuhnya.


24hb kami meninggalkan negara yang pernah dijajahi oleh umat Islam itu, dan menuju pula ke Kota London. Dari Granada kami transit semula ke Barcelona sebelum ke London. Transit di Barcelona selama 4 jam. Dari situ lah timbul idea untuk kami masuk semula ke kotaraya Barcelona memandangkan lawatan tempoh hari, tidak sempurna dek hujan. Sebaik tiba di airport kami terus check-in beg. Kami terus menaiki teksi menuju ke kotaraya Barcelona buat kali keduanya. Alhamdulillah cuaca hari itu cerah terang benderang. Itulah hikmah yang saya nyatakan di awal tadi. Kami dapat ke Barcelona 2 kali dalam masa terdekat. Kalau tak di sebabkan hujan hari tu, tentu kami hanya berlegar di sekitar airport sahaja semasa transit itu. Itu sebabnya gambar kami di depan Sagrada Familia tu nampak macam cuaca OK je.

Kami tiba di Airport HEATROW LONDON jam 3 pm. Heatrow adalah antara Airport yang tersibuk di dunia. Selang 1 minit ada saja kapal terbang yang 'touch down' atau berlepas. Si isterilah yang nampak paling tersenyum, kerana hasratnya untuk ke 2 kotaraya ternama di dunia iaitu Paris dan London telah tercapai.

Kami tinggal di sekitar Baywater berdekatan Malaysia Hall London. Terus saja kami menjamu selera di Cafe di bawah Malaysia Hall tu. Huhhh.... sedapnya..... dah lebih seminggu tak dapat merasai masakan Malaysia. Saya pun rindu juga masakan di Cafe ni. Kedatangan pada feb 2008 lalu masih terasa lagi enaknya masakan Malaysia tu, di tekak.

Di London kami hanya tinggal 1 hari 1 malam sahaja. Tapi cukup lah untuk mengunjungi tempat-tempat WAJIB seperti Trafalgar Square, White Hall, Big Ben dan House of Parliment, London Eye, Tower Bridge dan sudah tentunya shopping sedikit di Oxford Street yang terkenal dengan jualan barang-barang branded yang murah harganya.

Bagi Kudin seperti di Paris, lawatan pertamanya ke London pada Nov2008, banyak tempat yang tak sempat dilawatinya. Wal hal Trafalgar Square pun dia pergi salah tempat. "Patut la pi Trafalgar Square hari tu, takada patung singa pun. Nampaknya Wan dan Fitri (teman Kudin semasa lawatan tu) kena ulang lawat lagi lah London ni. Hari tu datang pergi tempat tak betul. Maklum lah tak ada pemandu pelancong." Kata Kudin.

Kami berlepas pulang ke Malaysia malam 25hb Okt. Kenangan indah berbulan madu di 5 kotaraya Eropah tu akan menjadi kenangan yang tak dapat di lupakan. Perjalanan dari Heathrow ke KLIA lebih 13 jam. "Touch down" saja kapal terbang di KLIA, si isteri ajukan soalan lagi "Bang, lepas ni kita nak ke mana pulak?" Kata saya "Hai!!! Baru sampai dah tanya nak pergi mana pulak lepas ni?" Malangnya si isteri tidak mendengar, kerana saya hanya bercakap di dalam hati..... hehehe...... tunggulah pengembaraan kami seterusnya.......

Sunday, June 21, 2009

BEIJING (JUN 2009)

Saya sepatutnya telah sampai di Beijing pada Mac 2008. Namun atas sesuatu sebab yang tak dapat di elakkan, perkara tersebut tidak menjadi. Itulah yang selalu saya perkatakan "KITA HANYA MERANCANG". Bagaimanapun Alhamdulillah hajat tersebut tercapai jua pada 7-12hb Jun 2009 yang lalu.
Sudah semestinyalah destinasi terpenting jika ke Beijing adalah TEMBOK BESAR. Panjang keseluruhannya adalah 6,000km panjang. Mula dibina semasa pemerintahan Maharaja Shih Huang Ti. Saya masih ingat nama mahsyur tersebut ketika belajar sejarah semasa di sekolah menengah dan ianya dikuatkan lagi ingatan tu apabila pemandu pelancong Philip berulang-ulang kali menyebut nama itu.
Saya dan keluarga agak bernasib baik kerana cuaca pada masa itu cerah dan terang, kerana gambar-gambar yang saya lihat dari kawan-kawan, langit Beijing biasanya berjerubu. Mungkin disebabkan sehari sebelum saya datang ke tembok besar, hujan telah turun dengan lebatnya seharian, yang mungkin telah menghilangkan jerubu di Beijing.
Saya juga sempat dan berpeluang bersembahyang zohor di Masjid Niu Jie iaitu sebuah masjid lama yang telah berusia lebih 1,000 tahun. Senibinanya merupakan senibina cina. Dan kalau bangunan ini ditempatkan di Malaysia sudah pastilah ianya merupakan sebuah Tokong Cina. Dan begitulah indahnya Islam ini, Adat dan Budaya bukanlah merupakan penghalang bagi penganutnya untuk beribadah. Saya juga pernah memaparkan kisah gereja yang dijadikan masjid di Dublin, Ireland.
Berbeza dengan Masjid lama Niu Jie, Masjid Baru di Tianjin berkonsepkan rekabentuk senibina moden. Macam kebanyakan masjid di Malaysia malahan di seluruh dunia. Yang istemewanya sudah banyak perkataan-perkataan bahasa melayu di masjid-masjid di Beijing seperti perkataan "BILIK WUDUK, TABUNG SUMBANGAN" dan lain-lain. Mungkin kerana semakin ramai pelancong dari Malaysia sering datang ke China terutama Beijing. Mana tidaknya kalau semasa makan di restoran-restoran halal di Beijing samada makan tengahari atau makan malam, pasti kita akan berjumpa dengan orang-orang Melayu Malaysia yang makan di restoran yang sama. Faktor lain mungkin juga disebabkan semasa lawatan saya dan keluarga adalah semasa musim cuti sekolah. Sebut sajalah tempat-tempat di sekitar Beijing, Tembok Besar, Summer Palace, Medan Tiananmen, Forbiden City, pasti kita akan berjumpa dengan orang Melayu Malaysia.
Saya agak kurang bernasib baik semasa melawat Medan Tiananmen dan Forbiden City kerana hujan turun seharian dengan lebatnya. Medan Tiananmen adalah merupakan dataran di dalam bandar yang paling besar di dunia. Namun seperti yang saya nyatakan tadi, hujan pun ada rahmatnya, kerana keesokannya pemandangan di Beijing amat cerah sekali, menghapuskan jerebu yang biasanya adalah merupakan keadaan biasa di Beijing.
Summer Palace atau Istana Musim Panas adalah merupakan tempat istirehat Maharaja dahulu kala di musim panas. Tasik Buatannya merangkumi lebih 3 suku kawasan Istana yang berkeluasan lebih 200 hektar itu. Semasa musim panas air tasik dan angin dapat menyejukkan kawasan sekitar istana. Manakala pada musim sejuk air tasik ini akan menjadi beku dan kita boleh berjalan kaki di atasnya. "Oh! kena datang lagilah ni, musim sejuk pulak, nak tengok tasik beku dan nak berjalan kaki di atasnya." kata isteri kepada saya. Saya buat-buat macam tak dengar dan hanya tersenyum tapi kelihatan sedikit tawar.
Sarang Burung juga merupakan antara tempat tumpuan pelancong. Stadium yang boleh menampong 80,000 orang ini agak unik dan merupakan antara simbol kemegahan rakyat China semasa Sukan Olimpik 2008. Di Stadium ini dijalankan acara-acara sukan utama seperti bola sepak, olahraga dan majlis perasmian serta upacara penutup.
Sebuah lagi stadium sukan yang agak aneh dipanggil "WATER CUBE". Kedudukkannya bersebelahan dengan Stadium Sarang Burung dan digunakan untuk acara yang bersesuaian dengan namanya iaitu acara renang dan sukan air. Saya memang tersangat ingin melihat stadium ini dengan mata kepala sendiri kerana 3-4 tahun yang lalu saya telah menghadiri satu seminar yang di sampaikan sendiri oleh Sang Arkiteknya seorang rakyat Cina. Konsepnya memang tepat. Lihatlah rekabentuk dindingnya yang menyerupai buih-buih dan berbentuk empat segi.
Saya dan dua anak lelaki saya, Haziq dan Qayyiem telah datang semula pada sebelah malamnya untuk melihat kehebatan stadium-stadium ini pada waktu malam. Wow! pasti ianya lebih menarik, warna biru yang menggambarkan warna air. Agak malang saya hanya dapat merakamkan keindahannya dalam masa 20 minit sahaja, sebelum lampunya dipadamkan pada jam 10 malam. Tak dapat saya nak "explore" lebih lagi.
Ini adalah merupakan hotel termahal di Beijing pada masa ini. Terletak berdekatan dengan Stadium Bird Nest dan Water Cube, hanya 5-7 minit berjalan kaki. Bill Gate dan "RICH AND FAMOUS" yang lain menginap di hotel ini semasa berlangsung nya Sukan Olimpik Beijing 2008.
Banyak tafsiran yang di buat mengenai bangunan hotel ini, ada yang kata macam kepala ular, ada kata kepala keris, ada kata macam muncung burung kerana berdekatan Stadium Sarang Burung dan entah macam-macam lagi tafsiran. Terpulanglah pada masing-masing mentafsirkannya.
Satu lagi impian saya juga telah tercapai semasa melancong ke Beijing tempoh hari. Iaitu untuk merasai menaiki keretapi laju BULLET TRAIN. Saya berkesempatan menaiki keretapi ini dari Tianjin ke Beijing sejauh 150km dalam tempoh 1/2 jam sahaja. Kelajuan tertinggi yang di capai pada masa itu adalah 326km sejam. Walaupun saya tahu keretapi terlaju masa kini telah mencapai lebih 500km sejam, namun pengalaman menaiki keretapi di Beijing sudah memadai dan sungguh teruja.
Saya dan keluarga selamat mendarat di KLIA pada 12hb Jun 2009 jam 10.40 malam. Alhamdulillah saya bersyukur semuanya selamat dan sihat, terutama semasa saya di Beijing itu, wabak H1N1 sedang menular dengan pantas dan amat mengerikan. Semasa kami sampai di Beijing pun kami di arahkan memakai topeng muka dan setelah pulang ada anggota rombongan kami yang diberi rawatan rapi kerana demam. Namun tak ada kes jangkitan H1N1 yang di kesan.
Akhir kata, apakah ungkapan isteri"Oh! kena datang lagilah ni, musim sejuk pulak, nak tengok tasik beku dan nak berjalan kaki di atasnya." benar-benar menjadi kenyataan atau hanya tinggal sebutan. Sama-samalah kita tengok nanti, manalah tahu kalau-kalau ada rezeki lebeh kami akan datang semula ke Beijing nanti.

Wednesday, May 20, 2009

SELAMAT HARI BAPA???????(MEI 2009)

Kalau 10 Mei setiap tahun, adalah hari kita meraikan HARI IBU, maka tanggal 20 Mei pula adalah hari kita meraikan HARI BAPA. Eh! betul kah begitu? Oh tidak. Bukan. Tapi bagi diri saya tanggal 20 Mei adalah hari yang cukup bermakna. Ianya berkaitan dengan bapa saya. Tahun ini tanggal 20 Mei 2009 adalah hari genapnya 2 tahun AYAHANDA saya pergi buat selama-lamanya (20 Mei 2007).
Inilah pusara Ayahanda yang terletak di tanah perkuburan Batu 11, Cheras Kuala Lumpur. Jika ada kelapangan, InsyaAllah saya akan berkunjung ke sana. Biasanya jika saya mempunyai urusan di Putrajaya atau di Kajang, pasti saya akan singgah ke sana untuk melepaskan rindu.
Tiada binaan untuk pusara Ayahanda, hanya tumbuhan rumput karpet dan beberapa batang pokok rendah menghiasi pusaranya.
Saya pernah terbaca pendapat yang menyatakan bahawa, adalah di larang untuk membina binaan di atas kubur. Ada juga pendapat yang membenarkan binaan, tetapi tidak boleh terlalu besar. Kalau kita menziarahi ke Tanah Perkuburan BAQI' di Madinah, kita akan dapati kubur-kubur para sahabat yang berjumlah 10,000 orang itu hanya di tanda dengan 2 ketul batu sahaja, 1 di bahagian kepala dan 1 lagi di bahagian kaki. Saya juga pernah membaca sebuah hadis Nabi mengenai Nabi pernah memacakkan 2 pelepah kurma pada 2 buah kubur yang penghuninya sedang disiksa. Dan sabda Nabi, pelepah-pelepah tersebut akan berzikir sehingga ianya kering. Ada yang berpendapat bahawa ada baiknya menanam pokok di atas kubur, agar daun-daun pokok tersebut berzikir dan mendoakan si mati. Ada juga yang berpendapat kisah tadi hanya untuk Nabi sahaja kerana Nabi mempunyai Mukjizat dan perkara ini tidak untuk kita. Melalui pendapat-pendapat ini terserahlah kepada pembaca-pembaca sekelian untuk menkaji dan mendapatkan pandangan ustaz-ustaz serta cerdik pandai dalam bidang agama. Bagi saya, saya juga masih mencari kesahihan perkara-perkara ini. Akhir sekali, saya mendoakan agar Ayahanda saya hidup bahagia di Alam Barzakh dan di golongkan bersama golongan orang-orang yang soleh. Amin. Al-Fatihah.


Wednesday, May 6, 2009

HIMPUNAN HARIMAU TUA (MEI 2009)

Memang setiap sabtu pertama bulan mei setiap tahun, akan di adakan himpunan murid-murid tua bagi bekas pelajar-pelajar asrama SMK King Edward VII, Taiping. Sabtu kali ini jatuh pada tarikh 2 hb Mei 2009 dan 1 hb (hari buruh) jatuh pada hari Jumaat. Maka panjang lah sikit cuti tu, 3 hari. Seramai 40-50 orang bekas pelajar telah hadir untuk memeriahkan himpunan tersebut. Buat diri saya kehadiran ini adalah kali kedua selepas hadir pada 5-6 tahun yang lalu. Tetamu istemewa yang hadir adalah Cikgu Harun, guru asrama semasa saya menghuni di asrama tersebut dari tahun 1974 hingga 1979.

Gambar atas- bergambar beramai-ramai selepas majlis makan malam. Saya berdri 3 dari kiri berbaju merah berkolar hitam. Lambang sekolah adalah gambar seekor harimau. Bagi pelajar-pelajar masakini, mereka di gelar sempena nama lambang itu....harimau. Maka untuk bekas-bekas pelajar gelaran yang di beri tentulah HARIMAU TUA. Seronok juga dapat berjumpa kawan-kawan lama dan kisah-kisah lama di suburkan kembali. Ada kisah duka, ada kisah suka, ada kisah jenaka dan ada kisah syahdu. Semuanya di ulang tayang melalui gambaran minda masing-masing.

Atas, gambar saya bersama HARIMAU TUA Wan Baharin, bekas pemain rugbi sekolah yang merangkul juara seluruh Malaysia pada tahun 1978 dan 1979. Pada tahun-tahun tersebut KE VII memang hebat, MCKK, STAR, SDAR, RMC dll tiada tandingan nya. Selepas kumpulan kami itu, prestasi KE makin merosot dan hingga kini zaman kegemilangan itu belum dapat di tebus. Wan Baharin kini merupakan tuan punya syarikat kereta Perodua di Kuala Kangsar.

Berbaju oren adalah HARIMAU TUA Mat Zubaini dan berbaju biru adalah HARIMAU TUA Awang Mansur. Zubaini kini merupakan Pengurus Cawangan Public Bank di Pantai Remis, Perak sementara Awang merupakan guru bahasa Inggeris di Selama, Perak. Dahulunya Awang memang terkenal kerana mahir bermain alat muzik seperti gitar dan biola. Pada zaman tersebut, kumpulan Deep Purple merupakan antara kumpulan favourite hinggakan Cikgu Harun pun di gelar dengan nama JOHN LORD sempena nama pemain drum kumpulan itu. Antara sebab musababnya juga kerana misai tebal Cikgu Harun tu saling tak tumpah macam misai John Lord.

Dari kiri- YB(B) HARIMAU TUA Muhaimin, HARIMAU TUA Yusuf Mat Arip dan HARIMAU TUA Raja Omar. Muhaimin adalah bekas ADUN UMNO Gunung Semanggol,Perak pada penggal 2004-2008. Pilihanraya mac 2008 lalu beliau kalah pada calon PAS. Yusuf dan Raja Omar juga adalah bekas pemain rugbi juara Malaysia tahun 1978 dan 1979.

Dari kiri- Gambar-gambar HARIMAU TUA Yusuf, HARIMAU TUA Razali, HARIMAU TUA Muhaimin, HARIMAU TUA Nazri (saya lah tu), HARIMAU TUA Jalil dan HARIMAU TUA Wan Baharin. Jalil dan Razali adalah senior 2 tahun. Razali kini bekerja di pejabat Imigrisen KLIA sementara Jalil di Maybank Shah Alam. Jalil juga merupakan pemain rugbi juara Malaysia tahun 1978 dan 1979. Masa tu beliau di tingkatan 6 rendah dan atas, sementara saya di tingkatan 4 dan 5.

Gambar bawah- Saya bersama HARIMAU TUA Zulazlan, yang kini bekerja di SUK Perak, Ipoh. Memang kami tak pernah berjumpa 30 tahun yang lalu iaitu semenjak tahun 1979 selepas keluar sekolah tingkatan 5.

Bagi kawan-kawan yang membaca blog ini, janganlah marah apabila saya menggelar kita ni HARIMAU TUA. Yang sebenar gelaran kita adalah OLD EDWARDIAN. Saja-saja saya nak sensasikan atikel di blog saya ini.
Dalam tempoh berbual-bual itu tersebut jugalah mereka-mereka yang telah pergi buat selama-lamanya seperti Rahman Musa, Ghazali Nordin, Lope Ahmad. Ada juga yang sedang sakit seperti Prof Dr Aziz Chik (UTM Sekudai) dan Khairudin Bahazam. Aziz Chik mengidap Kanser paru-paru dan baru sahaja menjalani pembedahan membuang sebahagian paru-parunya dan kini masih di rawat di hospital Sultanah Aminah JB. Khairudin pula mengidap Parkinson dan kini tidak lagi dapat berjalan.
Di saat begini dan di usia begini barulah kita rasa bersyukur kerana masih di kurniakan Allah kesihatan yang baik dan umur yang panjang berbanding dengan mereka-mereka yang telah di nyatakan tadi. Kadang-kadang kita lupa itu semua nikmat yang masih Allah kurniakan pada kita dan kita harus beringat. Ingatlah pesan Nabi, agar kita beringat dalam 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Antaranya beringat ketika sihat sebelum datang sakit. InsyaAllah.....

Tuesday, April 28, 2009

DOHA (APRIL 2009)


Perjalanan dari KLIA ke Doha, Qatar mengambil masa selama 6 jam 30 minit. Inilah kali pertama saya membawa ahli keluarga sebesar ini dan sejauh ini bersama isteri, 4 orang anak-anak, bapa dan ibu mertua. 8 orang semuanya termasuk saya. Tujuan utama adalah untuk menunaikan umrah dari 2-14 April 2009. Saya dan keluarga singgah di Doha selama 6 jam sebelum menyambung perjalanan ke Jeddah. Pihak Qatar Airway ada menyediakan sarapan pagi semasa tiba di Airport Doha. Anak-anak nampak gembira walaupun sebenarnya mereka letih, terutama si paling kecil Darweesh.